Sunday 25 January 2015

Homestay di Sarawak

Homestay, atau rumah inap ialah tempat penginapan yang berbeza dari bilik hotel. Bilik hotel ni biasanya tak buat apa-apa aktiviti untuk penginap, melainkan penginap cuma tidur, mandi, bangun, keluar jalan2 dan balik semula, ulang balik rutin yang sama. Kelebihan homestay ni banyak, tapi memandangkan sekarang bukan musim cuti, aku bagi list bagi sesiapa yang berhasrat nak bercuti di Sarawak masa school break nanti. Harap list ni dapat membantu sesiapa yang tengah mencari homestay di Sarawak.

1. Homestay Kampung Panglima Seman Lama

Aku masih ingat dengan homestay di kampung ni, masa ikut aktiviti Maulidur Rasul tahun 2007. Homestay di Kampung Panglima Seman Lama ni antara homestay yang sangat dekat dengan pusat bandaraya Kuching. Kawasan kampung ni terletak di utara bandaraya dan Tebingan Kuching terletak berhampiran. Penginap boleh merasai peluang meredah Sungai Sarawak menggunakan perahu tambang atau teksi air. Kalau ada duit lebih, boleh try kapal persiaran Sayang Sarawak dan menikmati pemandangan DUN baru yang tersergam indah serta Fort Margherita yang bersejarah. Ada 10 buah rumah keluarga Melayu yang membuka rumah mereka sebagai homestay dan menyediakan aktiviti seperti seni kraftangan, seni sulam, budaya bergendang dan berpeluang untuk mempelajari tarian Melayu Sarawak serta bermukun. 

2. Homestay Kampung Tanah Hitam

Homestay Kampung Tanah Hitam terletak di Sematan, iaitu kawasan beach town yang cantik dengan pasir pantai yang putih. Aku pernah pergi ke kampung ni, tapi tak pernah try duduk homestay. Keunikan homestay di kampung ni ialah penginap boleh belajar aktiviti tempatan seperti menangkap ketam, bercucuk tanam dan memancing ikan. Penginap juga berpeluang menikmati makanan laut yang segar dari laut, boleh bermain-main di tepi pantai dan bercinta dengan alam.

3. Homestay Teluk Melano

Teluk Melano, berdekatan dengan Sematan antara kawasan terpencil yang sangat cantik dan indah. Aku belum berpeluang untuk jejak kaki di situ. Homestay di kampung ni memang jauh dari segala kesibukan kota. Jarak antara teluk ni dengan Kuching dianggarkan sejauh 120 km. Apa yang menarik tentang homestay di Teluk Melano ialah keindahan alam semulajadi yang sangat mengagumkan. 10 rumah disediakan untuk keperluan homestay. Pihak pengurusan juga boleh menguruskan perjalanan ke kawasan penyu bertelur di Pulau Talang Satang. Bagi sesiapa yang tak minat memancing, mereka boleh mencuba aktiviti snorkeling atau scuba-diving. Setahu aku, pelancong dari Barat memang suka datang sini.

4. Homestay Kampung Santubong

Terletak di kampung bersejarah yang dah wujud ribuan tahun dahulu, homestay di Kampung Santubong pasti sesuai untuk orang yang suka sejarah. Ada 20 rumah disediakan sebagai rumah penginapan. Kampung ini menyediakan aktiviti laluan bersejarah seperti tapak sejarah Batu Bergambar, makam Sultan Tengah, tapak arkeologi di Bongkisam dan banyak lagi. Kampung ini juga menjadi tumpuan untuk aktiviti berkelah dan fotografi. Penginap juga berpeluang untuk mempelajari seni membuat perahu layar, memancing dan pelbagai aktiviti budaya. Aktiviti luar seperti mendaki Gunung Santubong, trip melihat ikan lumba2, berkunjung ke Kampung Budaya Sarawak dan bermain-main di pantai berhampiran antara aktiviti menarik di kampung ini.

5. Homestay Kampung Siol Kandis

Berbeza dari homestay yang lain, homestay di kampung ini bersifat multi-etnik, multi-agama dan ia terletak berdekatan dengan pusat bandaraya, tak jauh dari lokasi Mahkamah Baru Kuching dan Wisma Bapa Malaysia. Bagi penginap yang memilih homestay di kampung ni, pelbagai budaya diselitkan dalam aktiviti dan berpeluang mempelajari pelbagai bahasa etnik. Perjalanan ke dewan undangan baru Kuching, masjid negeri, Muzium Kuching dan berhibur di Matang Wildlife Center serta Matang Family Park boleh diuruskan. Aktiviti membuat ikan terubok masin serta membuat kek lapis Sarawak juga boleh dilihat di sini.

6. Homestay Kampung Telaga Air

30 km dari Kuching, perkampungan Melayu Telaga Air ialah pelopor kepada rumah inap di negeri ini. Dimulakan oleh Malaysia Fisheries Developement Board pada awal 90an, ia mendapat sambutan baik kerana aktiviti yang dianjurkan seperti memancing, jungle trekking, mendaki gunung dan persembahan budaya menarik ramai pengunjung. Penduduk tempatan juga tertarik dengan aktiviti yang dianjurkan. Hujung minggu di kampung ini boleh dinikmati di kawasan rehat terbuka yang berdepan dnegan laut dan merasai udara segar. Ada 18 buah rumah yang disediakan dan setiap satu rumah sangat bersesuaian untuk didiami oleh satu keluarga.

7. Homestay Kampung Melayu Tebakang, Serian

80 km dari Kuching, kampung ini terletak di Serian. Aku pernah duduk di homestay kampung ni tahun 2006, anjuran Kementerian Belia dan Sukan dan penerimaan penduduk di sini sangat baik. Jalan masuk ke kampung ini ialah jambatan gantung dan kebanyakan kenderaan besar diletakkan di tempat parkir di tepi jalan. Aktiviti yang menarik di kampung ini ialah pengembaraan ke ceruk-ceruk sungai, jungle trekking di kawasan hutan berhampiran, mempelajari aktiviti bercucuk tanam, dan memetik hasil tani di kebun atau di hutan. Aku masih ingat, ada satu kuih yang penduduk di sini buat, rasanya memang sedap sangat. Aku tak tahu kuih tu kuih apa. Lupa nak tanya.

8. Homestay Kampung Maludam

Terletak di Taman Negara Maludam di daerah Betong, homestay kampung ini menawarkan keindahan flora dan fauna. Pihak pengurusan menyediakan rumah untuk 8 buah keluarga sahaja. Penginap boleh mengikuti pengembaraan ke wetland dan melihat sendiri hidupan liar iaitu monyet, monyet proboscis berhidung besar, pelbagai spesis burung, pemangsa, kelawar dan juga buaya. Aktiviti memancing juga disediakan dan penginap akan dilayan dengan aktiviti kebudayaan sepanjang mereka berada di kampung ini.

9. Homestay Kampung Senau

Kampung Senau, kampung etnik Melanau terletak 20 km dari Mukah dan merupakan tumpuan utama untuk aktiviti laut bagi etnik Melanau di sini. Terkenal dengan skil memancing dan makanan etnik. Kampung ini menawarkan aktiviti kebudayaan masyarakat Melanau, memperlihatkan proses menyediakan sagu, cara membuat biskut dari sagu dan juga cara memproses makanan yang lain.

10. Homestay Kampung Kuala Sibuti

40 minit dari Miri Resort City, kampung nelayan ini terkenal dengan pilihan makanan laut yang banyak. Penduduk tempatan sendiri menghabiskan banyak masa di kampung ini pada hujung minggu. Bagi sesiapa yang memilih kampung ini sebagai lokasi homestay, mereka berpeluang untuk berkunjung ke Gua Niah dan Taman Negara Lambir. Penginap juga berpeluang menaiki bot dan menikmati keindahan kunang-kunang serta aktiviti memancing.

11. Homestay Kampung Kedayan

Etnik Kedayan merupakan etnik minoriti di Sarawak. Dengan adanya homestay di Kampung Kedayan, kita berpeluang untuk melihat sendiri budaya dan adat etnik Kedayan. Pengunjung diperlihatkan dengan cara hidup tiga kampung iaitu Peliau, Bungai dan Jambu yang bergabung dalam program homestay. Keindahan pantai di kampung ini dan aktiviti memancing dapat memenuhi masa lapang pengunjung. Apa yang paling menarik ialah aktiviti Kedayan Makan Tahun (Annual Open House) di mana pelbagai aktiviti disusun dan pengunjung terlibat dalam aktiviti tersebut.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia di pejabat Sarawak, tingkat 3, Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga, 93300, Kuching, Sarawak, Malaysia.

Tel: +6082 235 231 Faks: +6082 234 010 Website: www.motac.gov.my

Dipetik dari Borneo Talk Vol 34 Oct-Dec 2014
@magi2015

No comments:

Post a Comment