Wednesday 5 June 2013

Sekilas: Sejarah Tempat di sekitar Kuching

Sarawak, merupakan negeri terbesar di Malaysia. Semua orang tahu pasal sejarah keluarga Brooke, gunung Santubong dan pengaruh kesultanan Brunei. Tapi, terdapat beberapa perkara yang sering tak disebut dalam sejarah Sarawak. Sebagai contoh, kisah di sebalik Kubu Margherita, Istana TYT, kisah kebakaran di Kuching, atau jambatan Satok yang kini sudah roboh. Ada sesetengah penulis Barat juga pernah terfikir bahawa ada sesetengah fakta tidak banyak disebut dalam sejarah Sarawak.


Bandaraya Kuching

Nama bandaraya ini sinonim dengan kucing, haiwan berkaki empat. Menurut laporan dari Kuching Book Asset: Kuching Terus Makmur, James Brooke dikatakan telah memasuki muara Sungai Sarawak lalu singgah di kampung Santubong. Di situ, beliau mendapati orang Melayu Santubong gemar membela kucing. Terdapat kisah lain iaitu James Brooke dikatakan sampai ke jeti tokong Tua Pek Kong lama lalu menemui anak sungai Mata Kucing dan mengetahui pokok mata kucing menerusi penterjemah tempatan. Rajah kedua iaitu Charles Brooke telah merasmikan nama Kuching sebagai nama tempat pada 1872. Tapi, nama Kuching ini sudah wujud sebelum kedatangan Rajah yang pertama.

Jalan Padungan

Jalan Padungan ini pada asalnya sebuah bukit yang dikenali sebagai Bukit Mata Kucing. Menerusi nama inilah pusat membeli belah The Hills di Kuching mendapat nama dan dikatakan pokok mata kucing banyak tumbuh di atas bukit tersebut. Sebelum ia dikenali sebagai Bukit Mata Kucing, ia disebut oleh penduduk tempatan sebagai Bukit Pasu memandangkan bentuk bukit tersebut seperti pasu.

Kampung Gita

Kampung Gita, terletak di bandaraya Kuching mendapat nama dari dua sumber. Ranee Margaret mempunyai tiga orang anak iaitu Dayang Ghita Brooke dan anak kembar lelaki iaitu James dan Charles. Ketiga-tiga anak beliau meninggal dunia pada tahun 1873 semasa dalam perjalanan ke England dan kematian dipercayai berpunca dari taun, ataupun bahang apoleksi. Terdapat kemungkinan bahawa kampung yang berdekatan dengan jambatan Satok itu dinamakan bersempena dengan nama anak kecil tersebut. Ataupun, nama kampung tersebut dinamakan bersempena dengan nama timangan Ranee Margaret itu sendiri iaitu Ghita.

Jalan Rock

Jalan Rock merupakan lokasi sibuk yang menempatkan bangunan kerajaan, syarikat, deretan lot kedai dan juga Wisma Saberkas. Pada masa dahulu, terdapat seketul batu berwarna perang gelap yang terletak di tepi jalan. Batu itu dikenali sebagai batu kinyang yang membawa maksud kudus atau suci di kalangan orang Melayu dan bukan Melayu. Batu ini dikatakan boleh membesar dan dilitupi dengan sejenis kulit yang boleh tanggal. Batu ini dipercayai sudah lama wujud sebelum kedatangan Melayu ke Sarawak. Rajah Kedua iaitu Charles Brooke pernah berniat untuk meletupkan batu tersebut untuk kegunaan membina jalan raya tetapi dipujuk oleh penduduk tempatan supaya batu itu dibiarkan saja di tapak asal. Oleh sebab itu, jalan tersebut mendapat nama- Jalan Rock bersempena dengan batu kinyang tersebut.

Batu Kawa

Batu Kawa merupakan bandar baru yang menjadi pusat berniaga orang Cina. Batu Kawa dibahagikan kepada dua iaitu Batu Kawah Lama dan Bandar Baru Batu Kawa. Nama tempat ini dikatakan diperolehi dari amalan penduduk kampung yang suka menarah batu besar untuk dijadikan kawah memasak pada hari perkahwinan. Menerusi adat ini, kampung tersebut dinamakan sebagai Batu Kawah. Namun, berdasarkan legenda orang Melayu mengenai Batu Kawa, ia dipercayai berpunca dari kelakuan biadab orang kampung yang menyeksa kucing sebagai jenaka pada hari perkahwinan. Jenaka tersebut menyebabkan mereka ditimpa bencana, atau disebut sebagai 'buak' dan mereka semua bertukar menjadi batu. Batu itu dikatakan masih wujud berdekatan dengan sungai dan tersusun dalam bentuk bulatan.

Tokong Kuek Seng Ong

Tokong ini dikatakan milik sebuah keluarga dan dibina dalam saiz yang kecil. Pada 1884, Kuching mendapat musibah kebakaran yang dahsyat dan hampir memusnahkan seluruh deretan kedai. Tetapi, hujan tiba-tiba turun sebanyak dua kali dan memadamkan api sebelum sempat menjilat tokong tersebut. Tokong yang terletak di persimpangan Jalan Ong Ewe Hai dan Jalan Wayang kemudiannya dibina semula dengan saiz yang lebih besar pada 1897 sebagai tanda berterima kasih kepada dewa penjaga tokong tersebut. Tokong itu diberi nama sebagai tokong Kuek Seng Ong bersempena dengan nama dewa tersebut dan dewa itu kelihatan seperti budak lelaki.

Jalan Lumba Kuda

Jalan Lumba Kuda merupakan nama jalan di Kuching yang berdekatan dengan Jalan Padungan, Jalan Ellis dan Jalan Sekama. Dahulunya, ia merupakan kawasan sukan lumba kuda yang dirasmikan pada 1890. Sukan lumba kuda adalah sukan kegemaran Rajah kedua dan juga pegawai Eropah yang lain serta membawa kuda masing-masing dari kampung halaman. Minat mereka terhadap sukan ini telah menarik perhatian Sultan Johor yang berjaya memenangi Piala Towkay di Sarawak dengan kuda kecil milik baginda yang bernama Hercules. Nama sukan tersebut akhirnya menjadi nama jalan dan juga nama-nama sekolah.

Jalan Ellis

Jalan Ellis dahulunya banyak menempatkan keluarga bangsawan Melayu. Nama jalan ini diberi bersempena dengan nama pegawai Eropah iaitu H.D Ellis yang bertugas di Jabatan Kerja Awam dan Survei dan bertanggungjawab memajukan bandar Kuching dan juga membina dinding sungai bagi mengelakkan Jalan Gambier runtuh ke dalam sungai.

Bangunan Mahkamah Lama Kuching

Bangunan mahkamah ini merupakan pusat undang-undang di Sarawak pada era Brooke dan menyaksikan pelbagai jenis kes dan hukuman. Pada asalnya, ia sebuah bangunan papan dua tingkat pada 1847. Tujuan pembinaan bangunan tersebut ialah untuk menyediakan keperluan pendidikan dan tingkat atas pula dijadikan sebagai tempat tinggal. Paderi Jerman Lutheran Mission yang bernama Rupe telah menguruskan pembinaan tersebut sehinggalah beliau tiba-tiba dipanggil kembali semula ke Jerman dan kerja-kerja pembinaan tidak dapat disiapkan. Rajah pertama akhirnya mengambil alih kerja-kerja pembinaan dan mengubahnya menjadi dewan pentadbiran kehakiman.


Penghargaan dan rujukan:

Buku Kuching Terus Makmur
Buku terjemahan Sarawak Long Ago karya W.J Chater
Blog Harvey Verdicts
Laman sesawang Kembara Kuching

#tmg2013

No comments:

Post a Comment