Friday 12 October 2012

Nostalgia Perahu Tambang Sarawak


Perahu tambang, atau dikenali oleh penduduk Kuching sebagai 'perauk tambang' merupakan nostalgia sejarah lama Kuching yang menjadi pengangkutan utama sejak sekian lama. Ketika Briged PGA PDRM yang kini menjadi tapak kepada bangunan gah Dewan Undangan Negeri (DUN Sarawak) yang baharu, perahu tambang merupakan nadi kepada penduduk Briged PGA. Dahulu, dengan tambang 30 sen satu hala perjalanan, tambang perahu tambang kini meningkat menjadi 50 sen, hanya beza 20 sen untuk dijadikan alat pengukur kepada jasa pak tambang dan keunikan gondola versi Sarawak yang tidak ada di mana-mana tempat di Malaysia.


Dikatakan pada tahun-tahun yang seterusnya, Kuching Waterfront dan DUN akan dihubungkan dengan satu jambatan sebagai jalan perhubungan yang lebih kondusif dan moden. Kini, perahu tambang bukan saja dilihat sebagai pengangkutan awam tetapi juga menjadi kenderaan paling murah dan bernostalgia bagi pelancong dalam dan luar negara menikmati Sungai Sarawak dan Tebingan Kuching yang dilimpahi cahaya neon yang mengasyikkan pada waktu malam. Bukan itu sahaja, perahu tambang sudah lama berkhidmat sebagai agen pengiklanan menerusi gambar produk seperti Sunsilk pada atap perahu. Sebenarnya, ia agak efektif dan menarik perhatian. Cuma, apa yang dibimbangkan ialah keperluan dan khidmat pak tambang, sama ada mereka diperlukan atau budaya yang berusia beratus-ratus tahun ini terhapus begitu saja. 


Bagi saya, tidak kira apapun jenis jambatan yang mahu pihak berwajib lakukan, diharap agar khidmat perahu tambang ini kekal sebagai subjek pelancongan di bawah tanggungjawab pihak yang berkenaan. Semoga warisan lama perahu tambang ini terus dijaga sebagai nostalgia rakyat Sarawak.

Lagu Nostalgia Perahu Tambang>>> http://www.youtube.com/watch?v=bGYYG4dm_k8

Lirik Lagu Rakyat Sarawak (Oh Pak Tambang)

Meluncur perahu tambangan sayang,
Menuju tepi seberang,
Putih, kuning, perang,
Berkilauan warna bergerak,
Itu penambang negeri Sarawak

Bar mengebar, bor  mengebor,
Bar mengebor bunyinya dayung,
Rok mengerok rak mengerak,
Bunyi perahu menyusur ombak,

Sungai Sarawak penuh keliaran perahu tambang (ya sayang),
Hilir mudik mansang berlawan,
Menyusur arus bawa penumpang,

Bar mengebar, bor  mengebor,
Bar mengebor bunyinya dayung,

Rok mengerok rak mengerak,
Bunyi perahu menyusur ombak,

Kayuh pak tambang rempuh angin, air berpusing (ya sayang)
Singgah di Koteng memunggah jering,
Menyusur siring  terus ke Pending,

Bar mengebar, bor  mengebor,
Bar mengebor bunyinya dayung,
Rok mengerok rak mengerak,
Bunyi perahu menyusur ombak,

Kampung ya Boyan, Kampung Gersik Kampung Semarang (ya sayang),
Surabaya, Panglima Seman,
Di Tupong Ulu Sinjan ke Kampung Lintang,
Bersesar orang di Kalan Apong, di Kalan Panjang,
Berkejar-kejaran orang ke pasar Kalan Cik Omar,
Mudik ke ulu menuju Pengkalan Batu,
Singgah di Ceko di Pasar Minggu,
Oh Pak Tambang~ 
Oh Pak Tambang~ 
Bawa penumpang sepanjang malam,

Bar mengebar, bor  mengebor,
Bar mengebor bunyinya dayung,
Rok mengerok rak mengerak,
Bunyi perahu menyusur ombak,

Maklumat lagu:
  • Koteng merupakan kawasan kubur keramat terletak di Tupong. Pernah menjadi tempat memohon hajat. Tetapi ia tidak dipuja lagi.
  • Pending, Boyan, Gersik, Semarang, Surabaya, Panglima Seman, Tupong Ulu, Sinjan, dan Lintang merupakan nama tempat/kampung.
  • Kalan merupakan singkatan daripada perkataan pangkalan atau pengkalan.
  • Ceko, tempat menjual barang basah dan sayur-sayuran kini sudah tidak wujud lagi.
  • Kalan Cik Omar merupakan nama asal bagi Pangkalan Boyan.


MaGi 2012

No comments:

Post a Comment